Kulim merupakan sebuah bandar yang ketiga terbesar di negeri Kedah. Ia terletak di kawasan tenggara negeri Kedah, berdekatan dengan sempadan negeri Pulau Pinang, yang terletak di bahagian barat.

Kulim asalnya merupakan kawasan penempatan yang kecil pada era 1950-an. Kini ia merupakan tempat yang maju dengan kawasan-kawasan industri yang terletak di sekitar Bandar Kulim. Kaum majoriti di Kulim ialah kaum bumiputera 65% dan kaum lain 35%. Kulim juga terletak tidak begitu jauh dengan bandaraya Pulau Pinang.
Kos hidup di Kulim adalah tidak begitu tinggi. Kebanyakan penduduk juga gemar bertempat di Kulim kerana trafik di Kulim pada setiap hari tidak begitu sesak seperti di Pulau Pinang. Kebanyakan penduduk yang tinggal di pekan Selama di sempadan negeri Kedah dan Perak juga akan selalu datang untuk membeli belah di Kulim kerana perjalanan dari Selama ke Kulim cuma mengambil masa 30 minit sahaja.
Daerah Kulim dipercayai dibuka dan didiami sejak pertengahan abad ke 18 lagi iaitu dengan jumlah 100 orang yang berasal dari keturunan Melayu Pattani. Menjelang pertengahan abad ke 19 Kulim telah menjadi tumpuan kerana penemuan hasil bijih timah. Pada tahun 1890 terdapat 400 pelombong Cina beroperasi di Kulim. Antara kawasan terawal pembukaan Daerah Kulim ialah di Belakang Tebok. Lombong-lombong bijih timah yang terbesar telah dibuka di kawasan Kulim ialah Taman Tunku Putra, Kg Bukit Besar, Karangan, Terap dan Kelang Lama.

Menurut catatan pada tahun 1854 terdapat 8 buah syarikat cari gali bijih timah dengan jumlah pekerja seramai 1500 orang. Pada tahun 1888 tercetus peristiwa besar di Kulim yang melibatkan pekerja-pekerja lombong bijih timah. Peristiwa ini dikenali sebagai "Perang Nyonya Cantik" atau "Perang Kulim".
Kejadian ini bermula apabila taukeh-taukeh lombong bijih di sekitar Kulim bergaduh sesama sendiri kerana merebut seorang wanita Cina yang cantik atau wanita simpanan. Taukeh-taukeh ini telah menggunakan pekerja-pekerja lombong masing-masing dalam pergaduhan yang terjadi. Keamanan penduduk telah terancam dan pergaduhan ini telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya dengan memakan korban yang banyak di antara pihak-pihak yang terlibat.
Insiden Perang Kulim 1888 ini telah menyebabkan kerajaan Kedah terpaksa melantik seorang rakyat British iaitu B.E Mitchell sebagai Ketua Polis Kulim pada tahun 1890 dan kedudukan kewangan negeri Kedah yang teruk. Melalui Perjanjian Bangkok pada tahun 1909 maka pihak British telah menganggap Kedah telah pun berada di bawah pemerintahannya. Pada tahun 1923 barulah Sultan Abdul Hamid membuat perjanjian dengan British bahawa Kedah secara rasmi menjadi naungan British.
Nama Daerah Kulim dipercayai diberikan kerana terdapat banyak Pokok Kulim atau nama saintifiknya Scorocarpus borneensis Becc yang terdapat di kawasan ini terutama di kawasan Bandar Kulim oleh penduduk awal ini.
Pokok Kulim merupakan sejenis tumbuhan yang terdapat di hutan Malaysia serta di negara-negara ASEAN yang lain. Buah pokok ini digunakan sebagai perencah masakan oleh orang asli di kawasan Tapah, Perak. Pokok ini mengeluarkan buah selari dengan musim durian. Pada tahun 1997 dianggarkan harga jual beli untuk kayu pokok kulim per meter padu adalah mencecah sebanyak RM 270.00.

Di antara bangunan warisan yang masih terdapat di Kulim ialah panggung Coronation, Sek Men St. Patrick (1933) yang mana telah dijadikan sebagai bangunan perniagaan. Sekolah Menengah Sultan Badlishah (1948), Balai Polis Kulim dan sebagainya.
Manakala jam merdeka Kulim telah dirasmikan oleh DYMM Sultan Kedah pada 15 September 1957 yang masih kekal menjadi mercu tanda bagi bandar Kulim. Jam Merdeka Kulim telah berdiri megah lebih 50 tahun iaitu seusia dengan Kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957.
Batu asas Jam Merdeka ini telah dibuat oleh YPM Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu pada 14 Jun 1957. Jam Merdeka Kulim ini telah berjaya disiapkan dalam tempoh 3 bulan dan dirasmi oleh DYMM Tuanku Sultan Badlishah Ibni Almarhum Yang Di Pertuan Paduka Seri Sultan Abdul Hamid Shah, KOM, CMG, KBE Sultan Kedah pada 15 September 1957 iaitu 2 minggu selepas Perisytiharan Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957.
Kos pembiayaan Jam Merdeka Kulim dibiayai melalui penduduk Kulim sendiri yang berdasarkan catatan sebanyak RM40,000.00 sebagai manifestasi penduduk Kulim sebagai rakyat negara ini di atas kejayaan negara mencapau kemerdekaan dari penjajahan British. Hingga Kini Jam Merdeka Kulim masih lagi menjadi mercu tanda kebanggaan penduduk Kulim. Ianya kini telah diindahkan lagi termasuk mengadakan air pancutan di kawasan bersebelahan dengannya.